Jangan benar PN ‘Kelantankan’ Selangor

PENGUNDI di Selangor diingatkan supaya tidak sesekali membenarkan Perikatan Nasional (PN) untuk cuba ‘Kelantankan’ negeri tersebut.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut memberi ingatan yang sama kepada pengundi di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Menurutnya, sebagai pemimpin dari Terengganu beliau merasai sendiri keperitan apabila negeri kelahirannya dan Kelantan tertinggal dari segi pembangunan.

“Apabila ada parti yang bernama PN kombinasi Bersatu dan PAS yang bercakap mereka mahu mengubah Selangor dan mahu memajukan Selangor dengan lebih hebat.

“Saya cakap mudah sahaja, saya orang Terengganu jiran dengan Kelantan. Dua-dua negeri diperintah PAS. Saya kata jangan sama sekali bercita-cita ‘Kelantankan’ Selangor. Bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, beliau faham benar masalah yang dialami kedua-dua negeri ditadbir PAS.

“Tengoklah Kelantan, (isu) airnya pun tak selesai tapi ada hati untuk kata mereka boleh majukan Selangor lebih hebat.

“Orang Kelantan ‘lari’ meninggalkan tempat mereka, datang ke Selangor. Orang Terengganu (pun) datang ke Selangor.

“Macam mana kamu mengatakan mereka (PN) boleh membawa perubahan?,” katanya.

“Ubahlah Kelantan dahulu, ubahlah Terengganu dahulu. Jangan mimpi untuk bercakap kamu lebih baik daripada apa yang ada di Selangor ini,” katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi khususnya golongan muda agar mengetepikan PAS-PN apabila mereka mengundi pada bulan depan.

Ahmad Shabery berkata, pilihan raya yang akan berlangsung itu amat penting namun kehadiran ramai penyokong pada majlis berkenaan memberi petanda bahawa parti Kerajaan Perpaduan mempunyai peluang cerah untuk menang.

Enam negeri akan mengadakan pilihan raya awal Ogos ini iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai Pakatan Harapan serta Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir oleh PN. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights