SEORANG kanak-kanak perempuan menjadi tular di media sosial baru-baru ini selepas wajahnya dikatakan mirip penyanyi arwah Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia dua tahun lalu.
Menerusi perkongsian Instagram Suciuwais milik ibu tiri arwah, bapa Siti Sarah sanggup menempuh perjalanan selama tujuh jam semata-mata ingin bertemu dengan kanak-kanak yang mesra disapa adik Miza.
“Rezeki dapat jumpa adik Miza. Tujuh jam perjalanan ke sini sebab suami nak sangat jumpa,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam video yang dimuat naik, Raisuddin berkata kanak-kanak tersebut saling tidak tumpah seperti Siti Sarah malah memiliki gigi seakan-akan arwah.
Ketika pertemuan itu juga suami kepada arwah iaitu Shuib berkesempatan membuat panggilan video bersama adik Miza atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad.
Perbualan Shuib bersama adik Miza turut disertai Watie Hanifiah, isteri terbaharunya.
“Sama la yang, dia buat mata macam tu terus sama” ujar Watie.
Dalam masa sama, Watie juga mengakui rupa paras kanak-kanak itu mirip isteri pertama suaminya.
Siti Sarah yang mula dikenali dengan lagu Kesetiaan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi, 9 Ogos dua tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19. – Malaysiapost