PARTI Gerakan mengesahkan akan bertanding di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Presidennya, Datuk Dominic Lau berkata, parti itu akan bertanding di empat negeri di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu di Kedah (3), Pulau Pinang (19), Selangor (8) dan Negeri Sembilan (6).
Menurutnya, Gerakan tidak akan meletakkan calon di Terengganu dan Kelantan.
Dominic turut mengesahkan beliau akan bertanding di DUN Pulau Pinang namun tidak memperincikan kawasan tersebut.
“Ya..sudah pasti saya akan bertanding kerana saya anak kelahiran Pulau Pinang,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan akan mempertahankan kerusi Presiden Gerakan pada pemilihan parti akan datang.
“Saya menerima pencalonan daripada 11 buah negeri,” katanya.
Menurutnya, negeri itu antaranya adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Terengganu.
Sebelum ini, media melaporkan Dominic akan berdepan tiga pencabar bagi kerusi Presiden selepas rundingan bagi memastikan persaingan satu lawan satu gagal dicapai.
Antara pencabar beliau adalah Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Lau Hoi Keong; Pengerusi Gerakan Melaka, Michael Gan dan bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Liang Teck Meng. – Malaysiapost