Isu ‘gelombang hijau’ : Zahid pertahan Guan Eng

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa sengaja membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina oleh ‘gelombang hijau’.

Mengakui ada membaca laporan berita mengenai dakwaan itu, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan ada pihak sengaja memainkan semula isu terbabit dan cuba memburukkan bekas Menteri Kewangan itu.

Justeru, beliau menyifatkan dakwaan yang cuba memburukkan Guan Eng itu adalah satu pembunuhan karakter, lapor Berita Harian.

“Tidak, saya juga membacakan laporan laporan itu. Ia berlaku sudah beberapa lama tetapi ia diulang untuk memburukkan Lim Guan Eng.

“Saya fikir kalau kita berbeza politik sekalipun, eloklah perbezaan itu dengan akhlak politik yang baik. Jangan ikutkan character assassination (pembunuhan karakter),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat Kebangsaan, di Dataran Merdeka di hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, dilaporkan meminta polis menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Akmal berkata, tindakan itu sebagai memberi amaran keras supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R tanpa mengira parti.

Menerusi hantaran di Facebooknya semalam, Guan Eng menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, ucapannya yang itu sudah diputar belit, seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau Cina. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights