Presiden KDM lega laporan saksi utama disahkan sahih

PRESIDEN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony meluahkan rasa lega kerana laporan pertama saksi utama kes perbicaraan yang dibuat pada 2018 telah disahkan sahih oleh pihak polis pada 3 Julai lalu.

Beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, pengesahan itu membuktikan dirinya telah dianiayai sebelum ini hingga disabitkan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2020.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap itu, beliau akan mengambilkan tindakan susulan dengan menghantar salinan polis itu sebagai bukti baharu kepada Mahkamah Rayuan dan Pejabat Peguam Negara bagi mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Keputusan yang diperolehi daripada Balai Polis Putatan di Penampang mengesahkan kenyataan yang dibuat Mohd. Shukur Mohd. Din iaitu saksi utama kes pertuduhan saya menerusi satu laporan awal pada 2018 adalah sahih.

“Menerusi pengesahan ini, saya akan serahkan salinan tersebut untuk tindakan susulan bagi Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah Rayuan untuk tindakan susulan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Laporan sahih itu membuktikan satu konspirasi politik yang jahat cuba mengaibkan saya, sehingga membolehkan saya disabitkan kesalahan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2020,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Baru-baru ini, Peter membuat laporan polis susulan satu artikel di media sosial mengaitkan saksi utama perbicaraannya yang mendedahkan bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menokok tambah laporan yang dibuatnya sekitar lapan tahun yang lepas.

Laporan itu dibuat dengan tujuan bagi mendapatkan perbicaraan semula dan menggugurkan semua kes sabitan yang dikenakan terhadapnya.

Mengulas lanjut, Peter berharap tiga dokumen baharu yang membabitkan salinan polis akan mendapat perhatian serisu Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah Rayuan untuk meneliti semula kesnya kerana ia berkait rapat dengan Mohd Shukur yang kini tidak lagi relevan menjadi saksi utama dalam kes perbicaraannya.

“Artikel yang tersebar di media sosial ketika ini adalah sahih yang berkisar dakwaan terdapat ahli politik cuba menjatuhkan saya.

“Sekiranya laporan pertama itu dibawa dalam afidavit dan hujahan ketika perbicaraan, sudah sudah pasti keputusan mahkamah akan berubah.

“Apa pun saya syukur laporan ini tersebar di media sosial dan yakin ada yang bersimpati dengan apa yang menimpa saya,” katanya.

Sementara itu, pengurusan kes di Mahkamah Rayuan oleh Peter akan didengar pada akhir Julai selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadapnya kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hampir sembilan tahun lalu.

Pada 26 Mei tahun lalu, Peter dipenjara tiga tahun dan denda RM50,000 di Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tujuh tahun lalu.

Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn. Bhd. didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014

Perayu didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights