Guan Eng dakwa portal berita salah terjemah kenyataan isu 3R

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng memaklumkan beliau belum dipanggil polis bagi membantu siasatan susulan kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Bagaimanapun, beliau bersedia bekerjasama dengan polis sekiranya diminta berbuat demikian, selain mendakwa kenyataannya diputar-belit sebuah portal berita yang melakukan terjemahan yang tidak tepat.

“Akhbar Chinese Press telah mengeluarkan kenyataan berasingan semalam dengan mengatakan portal MalaysiaNow melakukan terjemahan yang salah. Bila anda dah terjemah salah, kenapa nak salahkan saya pula?

“Kita faham kalau anda tidak faham Bahasa Mandarin, tetapi janganlah dengan sengaja buat terjemahan silap supaya boleh jadikannya sebagai senjata politik, untuk menjejaskan imej orang lain,” katanya.

Guan Eng berkata, apa yang disuarakannya adalah sebuah kuil Hindu lama berusia lebih 70 tahun yang dirobohkan Kerajaan Negeri Kedah pada 2020, dan bukan seperti yang didakwa.

“Mereka cuba manipulasi kata saya yang tidak sebut kuil Hindu tetapi sebut tokong Buddha Cina.

“Selepas itu, mereka terus mainkan isu ini tak cukup dengan itu mereka nak buat laporan polis berdasarkan apa yang saya tak cakap berdasarkan satu fitnah,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita berkenaan, Guan Eng tidak bercadang berbuat demikian.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Semalam, Bukit Aman mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Guan Eng berhubung kenyataannya itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights