Kalau bukan kawan pertahan kawan, siapa lagi?

PEMUDA PAS menyindir Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mempertahan Lim Guan Eng yang didakwa menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina oleh ‘gelombang hijau’.

“Betul dah tu, kalau bukan kawan pertahan kawan, siapa lagi nak pertahan?,” sindir Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ada pihak sengaja memainkan semula isu tersebut dan cuba memburukkan Pengerusi DAP itu.

Justeru, beliau menyifatkan dakwaan yang cuba memburukkan Guan Eng itu adalah satu pembunuhan karakter.

Dalam pada itu Ahmad Fadhli berkata, tidak kisah sesiapa pun membuat laporan polis berhubung isu tersebut sama ada dirinya atau pihak lain kerana setiap laporan akan disiasat oleh polis.

“Tak ada beza saya atau sesiapa buat laporan. Ini kerajaan Madani, semua laporan akan disiasat, soal ambil tindakan dakwa atau tidak, wallahualam.

“Lagipun saya di luar negara sekarang, dan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu bukan saya seorang, biarlah polis siasat,” katanya.

Semalam Guan Eng mencabar Ahmad Fadhli sendiri membuat laporan polis terhadapnya, selepas sayap gabungan itu dikerah untuk membuat laporan polis berkait ucapannya baru-baru ini.

Pengerusi DAP itu berkata Fadhli tidak patut membiarkan anak-anak buahnya menghadapi kemungkinan melakukan jenayah dengan membuat laporan polis palsu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights