MALAYSIA dan India menilai semula kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara selain berbincang kerjasama baharu yang boleh diterokai bersama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Menteri Pertahanan India, Shri Rajnath Singh yang mengadakan kunjungan hormat di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu turut disertai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Dalam pertemuan ini kami dapat menilai kerjasama pertahanan antara Malaysia dan India selain berbincang bentuk kerjasama baharu yang boleh diteroka bersama.
“Kami turut berkesempatan bertukar pandangan terkait isu-isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, beliau turut dimaklumkan mengenai pertukaran surat (EOL) bagi meminda memorandum persefahaman (MOU) kerjasama pertahanan antara Malaysia dan India yang disempurnakan oleh kedua-dua menteri terlibat.
Sementara itu, Mohamad dalam satu hantaran di laman Facebooknya pula, berkata Perdana Menteri dimaklumkan mengenai pertukaran surat antara Malaysia – India untuk pindaan kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Pertahanan yang telah ditandatangani pada tahun 1993.
“Penilaian semula kerjasama pertahanan dan penerokaan inisiatif baharu juga sempat dibincangkan bagi kepentingan bersama dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia – India,” katanya. – Malaysiapost