Pertembungan PAS-Umno persaingan politik bukan jihad permusuhan – Khairuddin

ALIM-ulama di dalam PAS diseru untuk memperbetulkan pemikiran dengan menukar fikrah ‘jihad permusuhan’ sesama muslim kepada ‘jihad persaingan untuk berlumba melakukan kebajikan’.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata pertembungan antara PAS dan Umno adalah jihad dan bukannya persaingan politik.

“Itulah akidah dan kepercayaan ahli-ahli PAS yang ditanam oleh ustaz-ustaz dalam PAS. Mereka tidak iktiraf Umno juga membawa perjuangan politik Islam.

“Mereka tidak menerima pilihan raya adalah persaingan merebut kuasa sesama muslim atas dasar ‘fastabiqul khairat’ atau berlumba-lumba melakukan kebajikan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 148.

“Tidak. Ianya bukan perlumbaan kebajikan. Bukan itu keyakinan mereka,” katanya menerusi Facebook.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS berkata, pemimpin PAS percaya ‘berlawan’ dan bertembung dengan ahli parti politik Islam lain adalah jihad yang memberikan pahala.

“Maka di sinilah membenihnya kebencian antara dua ahli parti berbeza yang diharamkan oleh Islam. Berlawan dan bertembung dengan ahli parti politik Islam lain adalah jihad yang memberikan pahala pada keyakinan mereka.

“Selagi pemikiran sebegini terus ditanam dalam pemikiran ahli PAS, perseteruan dan permusuhan yang mencarik persaudaraan akan terus berlangsung,” katanya.

Justeru, katanya, keadaan itu akan menyebabkan perpaduan sesama Islam yang diwajibkan Islam tidak akan berlaku.

Katanya, persaingan antara PAS dan Umno bukan permusuhan antara orang Islam dan bukan Islam, atau antara orang Islam dan orang fasik.

“Tetapi (ia adalah) perlumbaan mendapat kuasa oleh sesama Islam yang inginkan syurga dan takutkan neraka dengan berlumba siapakah yang lebih baik polisi ijtihadnya dalam kerangka semua parti Islam Melayu ini meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, cukup-cukuplah pemimpin Islam bergelar alim ulama ini membakar sentimen permusuhan berdalilkan al-Quran dan hadis yang menggambarkan permusuhan antara Islam dan kufur.

“Kita semua daripada mana parti sekalipun tetap mempunyai kewajipan walak dan kesetiaan kepada khalifah yang bergelar Yang di-Pertuan Agong dalam kerangka Jamaah Umat Muslim yang besar yang sentiasa bersatu padu dan berjamaah bersama-sama.

“Kita semua bertanggungjawab terhadap masa depan umat ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights