Annuar Musa sahkan terima saman Kit Siang

BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan telah menerima surat saman daripada veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang kerana mengaitkan pemimpin itu dengan tragedi 13 Mei 1969.

Bagaimanapun Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) bercadang untuk menyaman semula Kit Siang atas dakwaan mencemarkan kewibawaannya.

“Hari ini saya dapat surat saman daripada Kit Siang, saya sampai di Jempol orang rumah ‘call’, dia kata ada surat, Kit Siang saman saya kerana ucapan saya di Bachok.

“Saya kata tak ada masalah saya sudah lama tunggu Kit Siang saman saya, supaya bertemu buku dengan ruas, dia jangan fikir dia boleh buli Annuar Musa,” katanya ketika berucap pada ceramah Perikatan Nasional (PN) di Jempol, Negeri Sembilan, malam tadi, lapor FMT.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau turut bercadang menyaman Kit Siang kerana veteran DAP itu telah mencemarkan ‘kewibawaannya’ apabila menuduh dirinya mencontohi sikap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sejak menyertai PAS.

Dakwanya, Kit Siang menggambarkan beliau sudah mula membuat dakwaan liar, tidak masuk akal, dan tidak berasas.

Justeru, beliau berharap bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu siap sedia tampil untuk mempertahankan diri.

“Saya berpegang dengan apa saya kata, dia saman saya, saya berusaha saya akan arah peguam saya saman dia (Kit Siang) sebab dalam Facebook dia kata Annuar Musa sejak masuk PAS perkara pertama dilakukan dia tiru Haji Hadi.

“…kerana dia membuat tuduhan liar dan tak berasas, itu juga cuba mencemarkan kewibawaan saya sebagai orang politik. Maka saya akan mendakwa Kit Siang kerana cuba membuat ‘defamation’ terhadap saya, saya harap dia pertahankan diri,” katanya.

Terdahulu, memetik laporan Malaysiakini, pasukan peguam Kit Siang telah menyampaikan surat tuntutan (LOD) kepada Annuar berhubung dakwaan mengaitkan pemimpin itu dengan 13 Mei 1969.

Peguam veteran DAP itu, Sangeet Kaur Deo mengesahkan bahawa mereka telah menyampaikan surat guaman itu di rumah Annuar petang semalam. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights