AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menasihatkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhenti bersikap ‘kuku besi’ terhadap media.
Beliau berkata, tindakan itu adalah salah guna kuasa kerana memberi tekanan kepada media untuk melaporkan sesuatu berita kepada masyarakat.
“Selaku Ketua Portfolio Komunikasi dan Digital Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), saya minta jaminan bahawa Fahmi tidak akan meneruskan perangai kuku besi menghalang media daripada menjalankan tugas untuk melaporkan berita-berita yang mahu dilaporkan, atau memanggil media untuk diberi amaran.
“Kebebasan media semakin terhakis dalam negara kita. Kerakusan kerajaan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasa mesti dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Fahmi mempertikai beberapa laporan media tempatan Ahad lalu yang menyatakan harga barangan pengguna dijangka meningkat bermula Ogos ini.
Menurut Fahmi, ia kerana kadar inflasi negara setakat ini menunjukkan trend penurunan selain beberapa petunjuk ekonomi pada 2023 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Mac lalu, Fahmi dilaporkan memanggil media arus perdana disebabkan laporan analisis mengenai kemungkinan kenaikan OPR.
Fahmi ketika itu mengklasifikasikan laporan berkenaan sebagai fitnah.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata tidak salah untuk Fahmi mempertikaikan laporan media kerana ia jelas mencerminkan Kerajaan Perpaduan tidak kompeten untuk membawa penyelesaian kepada rakyat.
“Tidak salah untuk Fahmi pertikai laporan media yang menunjukkan kerajaan gagal menjaga rakyat dan gagal mengawal kenaikan kos sara hidup. Kerajaan ini hanya tahu bercakap dan mengawal suara rakyat secara kuku besi.
“Tapi tidak kompeten dalam benar-benar membawa penyelesaian. Jadi memang kerja Fahmi untuk bersuara begitu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman turut mempunyai pendapat yang sama bahawa Fahmi sepatutnya tidak menggunakan kementeriannya untuk mengawal pengguna media sosial.
“Ni saya nak nasihatkan Fahmi Fadzil, jangan over sangat guna SKMM untuk tekan dan tutup mulut warga maya dalam hal harga barang naik.
“Tak semua rakyat luar sana tu penjilat UMDAP. Nanti lagi jatuh kerajaan kamu,” ujarnya – Malaysiapost