Kerajaan jamin harga barang asas tak naik hingga hujung tahun – Salahuddin

KERAJAAN menegaskan barangan asas terutamanya yang bersubsidi tidak mengalami kenaikan harga, sekali gus menafikan dakwaan harga barangan berkenaan dijangka naik mendadak pada Ogos atau September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Salahuddin Ayub, berkata jaminan itu dibuat berdasarkan libat urus yang diadakan kementerian itu bersama pemain industri.

Beliau berkata, jika ada ‘permintaan’ untuk menaikkan harga barang, perkara itu akan dibawa ke ‘meja rundingan’ terlebih dahulu untuk dibincangkan.

“Berdasarkan libat urus yang kita dah panggil hampir 30 industri dengan kementerian minggu lepas, mereka semacam memberi kata sepakat tidak mungkin berlaku kenaikan yang melampau (sehingga hujung tahun ini).

“Kalau ada pun mereka akan runding kembali dengan pihak kerajaan untuk kita lihat (kembali) harga-harga tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan segelintir pihak sengaja memainkan isu kenaikan harga menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

“Saya akan kira dalam satu troli yang kita telah buat kajian bagi B40 dan miskin tegar yang berbelanja, itulah yang akan masuk dalam troli itu.

“(Pengiraan ini) akan membuktikan bahawa harga tidak naik melampau dan dengan Jualan Rahmah, harganya lebih rahmah dan rakyat akan dapat lagi menikmati harga yang sebenarnya lebih rendah daripada harga yang tidak ada Jualan Rahmah.

“Justeru, saya mengharapkan rakyat bertenang dan tidak mudah terpengaruh dengan serangan-serangan yang mungkin berobjektif untuk menghadapi PRN di enam negeri ini,” katanya.

Malah katanya, tinjauan kementeriannya juga mendapati harga ayam, telur ataupun RON95 serta diesel ketika ini masih berada pada harga yang ditetapkan dan terkawal.

Katanya, terdapat beberapa pasar raya yang mengambil inisiatif menjual harga minyak masak keemasan botol lima kilogram (kg) pada harga yang lebih rendah berbanding yang ditetapkan kerajaan iaitu RM30.90.

Dalam masa sama, Salahuddin berkata menerusi Ops Manis, kementerian mendapati setakat Hari Raya Aidiladha lalu, harga gula masih lagi stabil dan pihaknya tidak menerima sebarang aduan tentang kekurangan gula.

Terdahulu, media melaporkan harga barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia. – Malaysiapost

Kredit foto: FB Jabatan Penerangan KL

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights