PENTADBIR laman Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu kerajaan memantau harga makanan di restoran McDonald’s yang naik mendadak sejak beberapa tahun lalu.
Menurut hantaran di Facebook Najib Razak hari ini, kenaikan harga makanan di rangkaian restoran makanan segera itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lebih lima tahun lalu, amat mengejutkan.
Ia turut menyertakan perbandingan harga makanan segera di restoran tersebut ketika cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan dan selepas ia dimansuhkan.
“Harga dah turun belum selepas GST dimansuh?
“Mana perginya geng-geng “50 Ringgit penuh troli” masa PRU14?
“NOTA: Harap Menteri boleh pantau sikit kenapa harga Mekdi (McDonald’s) asyik naik setiap tahun selepas PRU14 sebab kadar kenaikan ini adalah mengejutkan,” tulis hantaran tersebut.
Berikutan ialah perbandingan harga makanan di McDonald’s pada Disember 2017 berbanding harga hari ini yang disertakan di laman Facebook Najib Razak:
Big Mac: RM8.60 –> RM13.40 (naik 56%)
McChicken: RM5.00 –> RM9.29 (naik 86%)
Filet-O-Fish: RM7.00 –> RM9.76 (naik 40%)
French Fries (L): RM4.20 –> RM7.26 (naik 73%)
McNuggets Happy Meal: RM6.80 –> RM11.42 (naik 68%)