Segera salur sumbangan kepada keluarga Wan Noor Hayati – Fahmi

MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meminta Bernama menyegerakan sumbangan kepada keluarga bekas wartawan dan pemenang Anugerah Kajai, Wan Noor Hayati Wan Alias, menerusi Tabung Kasih@HAWANA 2023.

Menzahirkan perasaan pilu atas pemergian Allahyarham Wan Noor Hayati atau lebih dikenali sebagai Wanti yang meninggal dunia petang semalam, Fahmi berkata isu kebajikan pengamal media adalah keutamaannya.

“Dalam Mesyuarat Pasca Kabinet minggu lalu, saya meminta Bernama segera berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk memastikan dana RM1 juta diumum Perdana Menteri pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Mei lalu, dapat disediakan bagi tabung kebajikan Bernama.

“Malah supaya ia dapat segera dimanfaatkan terutama bagi semua yang memerlukan dalam kalangan pengamal media,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Wan Noor Hayati, 44, meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira jam 6.10 petang semalam, akibat kegagalan jantung setelah bergelut dengan penyakit radang paru-paru.

Selain pernah berkhidmat dengan Utusan Malaysia, Allahyarham adalah bekas wartawan Berita Harian dan Media Variasi, serta pernah memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi kewartawanan negara pada 2013.

Allahyarham adalah ibu tunggal dan meninggalkan seorang anak lelaki berusia sembilan tahun.

Mei lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan permulaan RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena HAWANA 2023 bagi menyantuni pengamal dan bekas petugas media serta wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Tabung Kasih@HAWANA adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital yang dilaksanakan menerusi Bernama, sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights