Tiada diskriminasi terhadap Muhyiddin – Pendakwaan

PIHAK pendakwaan menegaskan pertuduhan rasuah RM232.5 juta dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersifat diskriminasi, berikutan keperluan undang-undang mengikut Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sudah dipatuhi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata itu antara alasan hujahan tiada pelanggaran hak terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengikut Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, lapor Berita Harian.

Katanya, alasan lain ialah bekas Perdana Menteri berkenaan diberikan prosedur sama dan berhak untuk mengemuka sebarang permohonan serta pembelaan sama seperti tertuduh kes lain tanpa diskriminasi.

“Pemohon (Muhyiddin) berhak untuk menyediakan segala pembelaannya dalam kes ini. Seperti mana yang dihujahkan di atas, cara atau bagaimana pemohon menggunakan kedudukannya boleh dibuktikan melalui keterangan sewaktu perbicaraan penuh kelak dan tidak perlu dinyatakan dalam pertuduhan.

“Perkara utama perlu dipertimbang ialah elemen atau inti pati di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimasukkan dalam pertuduhan yang menjadi perkara dalam permohonan sudah dipenuhi dan dipatuhi, bukan cara di mana sesuatu elemen dicapai.

“Sesuatu yang pramatang untuk menghujahkan mengenai cara bagaimana suatu kesalahan itu perlu dijelaskan, sedangkan keterangan daripada saksi masih belum didengar,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Presiden Bersatu itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Ini berikutan didakwanya tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.

Mahkamah menetapkan 15 Ogos depan untuk keputusan permohonan Muhyiddin bagi membatalkan empat tuduhan berkenaan.

Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights