Annuar syukur berada dalam wadah perjuangan PAS 

TAN Sri Annuar Musa berkata beliau bersyukur kerana kini berada dalam satu wadah perjuangan yang sangat jelas dan sangat istiqamah, terutama sekali dalam konteks Islam dan kenegaraan. 

Perasaan itu dinyatakan bekas pemimpin Umno tersebut yang kini menyertai PAS selepas pertemuan dengan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam. 

Menurut Annuar, pertemuan itu antara lain membolehkan beliau bertukar pandangan serta mendapat garis panduan mengenai dasar dan hala tuju perjuangan PAS. 

“Saya gembira dengan jaminan bahawa PAS akan terus menjamin hak semua kaum dan agama, selari dengan prinsip Islam serta Perlembagaan Persekutuan 

“Saya juga bersyukur kerana dasar PAS amat konsisten dengan Piagam Muafakat Nasional yang saya pimpin, berteraskan prinsip kasih sayang, perpaduan dan hormat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Annuar berkata, beliau dan Abdul Hadi bersetuju supaya PAS terus berusaha membuat libat urus dengan semua tokoh dan pimpinan bukan Islam. 

Katanya, ia sebagai usaha membenteras segala persepsi negatif yang berpunca dari salah faham tentang PAS dan Islam. 

“PAS mengekalkan sikap terbuka kepada perbincangan dan perundingan yang boleh membawa kepada kebaikan, kebajikan serta keharmonian rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights