PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan semangat dan kebersamaan yang ditonjolkan antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
Justeru, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yakin kerjasama berkenaan mampu terus memberi kestabilan kepada kerajaan sedia ada.
“Semangat ini penting dari melayan permainan politik berlandaskan perkauman sempit dan jumud yang tiada gunanya kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn, malam tadi.
Antara yang hadir ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain itu, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Menurut Anwar, platform itu penting bagi membincangkan perihal kerjasama dan gerak kerja menghadapi pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.
Beliau berkata, Siri Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan yang telah berlangsung di Selangor akan diteruskan ke negeri lain.
“Ia termasuk Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu yang pastinya memerlukan perancangan betul dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi,” katanya. – Malaysiapost