BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menerima surat rasmi permohonan maaf satu akhbar tempatan yang dipercayai membuat kesilapan dalam laporan baru-baru ini.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, akhbar tersebut iaitu Sinar Harian meminta maaf menerusi surat ditulis dengan tertib dan sopan.
Oleh itu katanya, beliau berbesar hati menerima permohonan maaf tersebut.
“Sebagai latar belakang, Sinar Harian pada mulanya lapor saya kata “Ada orang nak labur RM500 bilion di Pulau Langkawi jumpa saya” sedangkan angka sebenar yang saya kata ialah RM500 milion (juta).
“Sebelum itu Sinar Harian telah buat pembetulan tanpa ada permintaan dari saya.
“Walaupun pembetulan dan permohonan maaf itu datang beberapa hari kemudian dan ada yang ambil peluang untuk sindir saya, yang penting kebenaran muncul,” katanya dalam hantaran Facebook.
Semakan terkini pada laporan yang bertajuk ‘Ada orang nak melabur RM500 juta di Pulau Langkawi jumpa saya’ pada 8 Julai lalu, mendapati artikel tersebut telah dibuat pembetulan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Dr Mahathir mendakwa segelintir barisan menteri Kerajaan Perpaduan ketika ini hanya mengejar gaji tinggi tetapi gagal melaksanakan tugas.
Dr Mahathir mendakwa, disebabkan hanya mengejar gaji besar, kerajaan yang ada sekarang tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau menjelaskan, kerana kelemahan pentadbiran itu negara banyak terlepas peluang pelaburan.
“Ada orang yang nak melabur mereka jumpa saya, mereka kata nak melabur di Pulau Langkawi sebanyak RM500 juta. Tapi katanya tak ada menteri yang sudi jumpa dengan dia,” katanya. – Malaysiapost.