PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk, esok.
“Ya, jumpa (Elon Musk) esok,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai pertemuan itu.
Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama agensi penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan beliau akan bertemu dengan Musk minggu ini bagi meneroka cara untuk syarikat kenderaan elektrik utama itu menambah pelaburan di Malaysia.
Pada 1 Mac lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementeriannya telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan bateri elektrik (BEV) ke Malaysia.
Beliau berkata, Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia selain memperkenalkan pusat servis dan mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger.
Pada masa ini, pusat servis rasmi Tesla yang terdekat terletak di Singapura dan pemilik daripada program pajakan Greentech menghantar kenderaan mereka ke Hong Kong untuk kerja-kerja utama. – Malaysiapost