JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) sekali lagi memberi amaran melarang masjid dan surau di negeri ini dijadikan medan berpolitik dan pusat propaganda kepartian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.
Sehubungan itu, Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengingatkan pentadbir masjid dan surau supaya meningkatkan kawalan dan menguatkuasa semua larangan ditetapkan.
Ini kerana, katanya, menerusi pemantauan pihaknya masih terdapat pentadbir surau atau masjid memandang ringan larangan tersebut.
“Ini termasuk membiarkan atau membenarkan bahan penerbitan berunsur politik disebar di kawasan masjid atau surau, selain membiarkan tokoh-tokoh politik menggunakan masjid atau surau untuk tujuan politik.
“Perbuatan ini jelas melanggar ketetapan dibuat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi mengekalkan masjid atau surau sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang elemen dan pengaruh politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan pihak tertentu mengambil kesempatan menjelang PRN dengan mengedar terbitan atau bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik di masjid atau surau adalah suatu perbuatan tidak bertanggungjawab.
“Ia juga melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta ketetapan MAIS.
“Adalah diingatkan, Sultan Selangor sejak tahun 2018 lagi telah bertitah agar masjid atau surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan,” katanya.
Beliau berkata, sebarang tindakan yang bersifat menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan Mais boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Pegawai masjid yang terlibat juga boleh dikenakan tindakan dan dibatalkan pelantikannya oleh Mais berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” katanya. – Malaysiapost