TIADA lagi pertindihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan bermula dengan penamaan calon pada 29 Julai ini.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beberapa kerusi yang sebelum ini belum selesai sudah dimuktamadkan dalam pertemuannya dengan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita dah selesaikan isu pertindihan dua..tiga kerusi antara PH dan BN sepenuhnya.
“Insya-Allah 21 Julai ini BN akan membuat pengumuman secara rasmi calon-calon mengikut kawasan-kawasan yang telah kami persetujui.
“Ketika itu watikah pelantikan akan diberikan dan calon-calon juga akan berada di situ ketika pengumuman dibuat,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) di Putrajaya, hari ini.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu turut hadir dalam majlis dan sidang media berkenaan.
Ditanya mengenai beberapa kerusi akhir yang bertindih dan berjaya diselesaikan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, enggan mendedahkannya.
“Semangat kita adalah semangat kebersamaan. Ini bukan soal kerusi siapa..Amanah juga beri kerusi kepada kita (Umno), PKR juga beri kita..DAP juga ada beri kerusi kepada kita.
“Ia bukan berdasarkan kepada formula dimana kerusi yang kita pegang dan boleh menangi sahaja.
“Atas rasa kebersamaan ini kita mengambil kira tentang soal memberikan peluang yang lebih adil kepada parti-parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau bagaimanapun memaklumkan BN akan bertanding lebih daripada 100 kerusi di enam PRN berkenaan.
“Kerusi ditandingi lebih sedikit daripada 100 kerusi,” katanya.
Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, pula mengesahkan Amanah tidak bertanding banyak kerusi pada PRN 12 Ogos depan.
“Amanah bertanding tidak banyak… Tetapi tempat yang kami bertanding itu yakin menang,” katanya. – Malaysiapost