UMNO masih berusaha membebaskan bekas Presidennya Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan pecah amanah membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu sudah dinyatakan beliau sendiri kepada bekas Perdana Menteri berkenaan dan juga ahli keluarganya, selain kepada ahli parti dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.
“Saya sudah bertemu (keluarga) dan menjelaskan namun tidak kepada dua anak berkenaan, tetapi anak Najib yang lain.
“Sebagaimana yang dilihat dalam PAU kenyataan daripada Datuk Mohd Nizar Najib yang divideokan, malah ketika saya bertemu dengan Najib,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) di Putrajaya hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan anak Najib iaitu Datuk Mohd Nazifuddin dan Nooryana Najwa yang mengatakan ahli Umno akan memboikot dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana tiada tindakan untuk membebaskan Najib.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha Umno dalam membebaskan Najib masih berjalan mengikut perundangan yang ada, namun ia tidak perlu dijelaskan kepada umum.
“Jangan terjebak dengan permainan pihak-pihak luar..usaha-usaha parti berjalan.
“Jadi pada waktu sama proses keadilan dilakukan. Perlu asingkan isu antara soal keadilan dan soal usaha. Ini tidak perlu dijelaskan kepada umum,” katanya. – Malaysiapost