200,000 rakyat miskin tegar terima SARa RM600 Isnin ini – PM

SERAMAI 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) berjumlah RM600 mulai Isnin ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan itu bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan makanan asas.

Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan akan mengumumkan perincian berhubung Program SARa dalam masa terdekat.

“Kerajaan sudah menyediakan STR untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan sebagai tambahan, lebih 200,000 penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin tegas berdasarkan data e-Kasih, akan turut menerima SARa mulai 17 Julai ini.

“Bagaimanapun, perincian berhubung program SARa ini, akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Selain itu, Anwar mengumumkan Bank Simpanan Nasional (BSN) akan melancarkan Program Geran Padanan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan peruntukan RM100 juta pada bulan depan.

Katanya, sejumlah peruntukan juga dikhususkan untuk menggalakkan penjaja kecil aktif dalam pemasaran digital serta melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan.

Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan bersetuju memperluaskan pelaksanaan Skim Perubatan Madani ke tujuh negeri di bandar berkependudukan tinggi.

“Melihat sambutan yang amat menggalakkan dan keberkesanan skim ini, ia akan diperluaskan di tujuh negeri terutama di bandar yang berkependudukan tinggi seperti Klang, Johor Bahru dan Kuching,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights