MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyindir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai ‘aset’
paling popular Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana menurut Hannah, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, berkempen menghina Sultan dan Menteri Besar negeri lain serta wanita.
“Bayangkan parti sendiri kena minta dia jaga mulut. Orang macam ini jangan bagi akses pentas dan pejabat MB.
“Kedahans deserve better (rakyat Kedah berhak mendapat yang lebih baik,” ciap Ahli Parlimen Segambut itu menerusi Twitter.
Semalam portal FMT melaporkan, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin menegur Muhammad Sanusi supaya menjaga percakapan di pentas politik untuk mengelak kontroversi yang menyentuh 3R (kaum, agama, raja).
Hashim turut meminta Menteri Besar Kedah itu supaya lebih bertenang dan berlapang dada.
“Sanusi ke…tak kiralah pemimpin mana pun perlu lebih bertenang,” katanya.
Teguran itu susulan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor berkaitan pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Muhammad Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait 3R. – Malaysiapost