‘Saya tetap bersama Anwar, Kerajaan Perpaduan’ – Agus

MESKIPUN teruk dikritik pelbagai pihak, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff tetap memilih untuk terus bersama Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, beliau yakin pilihannya itu tidak menjejaskan akidah sebagai seorang beragama Islam dan berbangsa Melayu.

“Saya memilih untuk bersama PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Agus berkata, walaupun jika berbeza pandangan politik, tujuan mereka adalah sama untuk membangunkan Malaysia yang maju dan sejahtera.

“Orang tanya, apa perasaan saya bila dihentam dan dikritik. Kenapa diam dan tidak jawab? Perlukah dijawab?.

“Bagi saya, jika berbeza pandangan politik, tujuan kita tetap sama. Untuk membangunkan Malaysia yang maju dan sejahtera.

“Teruskan perjuangan dan kepercayaan politik masing-masing. Pilih yang terbaik.

“Hidup ini terlalu singkat,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, J-Kom yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri menerima kritikan ramai susulan poster belanja bulanan yang dikeluarkan agensi itu disifatkan tidak masuk akal.

Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan menegur J-Kom supaya agensi itu menjadi suara rakyat kepada Perdana Menteri dan bukan sebaliknya.

Beliau turut menasihatkan agar jabatan itu tidak menjadi ‘alat’ propaganda hingga menyebabkan orang ramai meluat dengan permainan politik yang tidak henti-henti. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights