PIHAK Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) memperhebatkan koordinasi operasi bersepadu dalam usaha menjadikan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) kekal selamat, sejahtera dan tenteram.
Usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Operasi Bersepadu Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh Daerah Beluran bermula 13 Julai dan berakhir pada awal pagi tadi.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Victor Sanjos, berkata operasi itu dilaksanakan di RCP Sapi Nangoh dan di Kilometer 70 Jalan Beluran Kampung Pamol.
Menurutnya, ia bertujuan membanteras penyeludupan barang dan penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan lain di laluan utama menghubungkan pantai Barat dan pantai Timur Sabah.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 282 kenderaan darat dan seramai 661 orang individu diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 13 PATI warganegara Filipina dan Indonesia ditangkap, serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dirampas kerana disyaki digunakan untuk menyeludup PATI,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seramai 27 orang masyarakat Bajau Laut (Pala’u) turut ditahan semasa menaiki pengangkutan awam dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.
“Turut ditangkap seorang lelaki dewasa kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran.
“Di samping itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) PDRM serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 85 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Victor berkata, kejayaan operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM dalam memperkasakan operasi-operasi sedia ada bagi memastikan keselamatan di pantai Timur Sabah.
“ESSCOM akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESSZONE bagi mengekang elemen yang mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di pantai Timur Sabah.
“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. – Malaysiapost