Kerajaan beri komitmen salur RM3 bilion untuk infrastruktur sawah – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komitmen untuk menyediakan peruntukan RM3 billion bagi mempersiapkan infrastruktur sawah seluruh negara dalam usaha menjayakan dasar penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.

Anwar berkata, usaha itu akan dilakukan dengan tumpuan kepada kawasan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Saya hendak pastikan nasib pesawah padi di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan terbela. Sasarannya meningkatkan pendapatan RM1,200 kepada RM1,800 sebulan.

“Langkah ini juga akan membolehkan masalah keterjaminan makanan asas itu dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra bersama nelayan, pesawah dan pekebun kecil peringkat Kedah, hari ini.

Beliau berkata, program itu yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memfokuskan kepada membawa pulangan dalam bentuk pendapatan yang tinggi kepada pesawah.

“Saya berharap program sawah pintar berskala besar ini, akan dapat dijayakan dengan kerjasama semua pesawah. Saya mahu MADA menjadi contoh dan teladan dalam menjayakan program ini,” katanya.

Anwar pada masa sama menegaskan, kerajaan akan terus komited membantu pekebun kecil getah dan nelayan.

Beliau berkata, pekebun kecil sebelum ini katanya menerima Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram manakala sumbangan musim tengkujuh ditambah daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan.

Katanya, manakala untuk golongan nelayan bantuan diberi sehingga RM300 sebulan. – Malaysiapost

Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights