Guna dana judi: Ketua Pemuda Umno cabar PN saman Anwar

KETUA Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk menyaman Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan gabungan itu mendapat dana daripada syarikat judi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau yang menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai berat, mencabar PN untuk berbuat demikian supaya perkara sebenar dapat dijelaskan kepada rakyat.

“Ehm…berat sungguh ni. Mohon pimpinan PN saman atas tuduhan ni jika tidak betul.

“Supaya rakyat dapat tahu apa kisah yang sebenar berlaku. Jangan diam,kita lawan di mahkamah! Berani kerana benar,” tulisnya menerusi Facebook.

Terdahulu, Anwar sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa PN mendapat dana daripada syarikat judi pada pilihan raya umum lalu.

Beliau mendakwa, tindakan PN ketika mentadbir negera menaikkan jumlah cabutan loteri daripada lapan kepada 22 kali bukan dilakukan secara percuma.

“Saya Menteri Kewangan (sudah) tengok fail-fail ini. Saya dulu Ketua Pembangkang memang serang kuat tapi tak terjangkau apa yang mereka lakukan.

“Ini banyak duit merata tempat daripada mana? Duit judi! Saya ulang, dulu saya sebut duit judi malam ini saya hendak sebut duit judi yang bantu mereka banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran Jelajah Perpaduan Madani dan Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Guar Chempedak, Kedah malam tadi.

Malah, Anwar mencabar pemimpin PN untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya apa yang beliau sampaikan adalah fitnah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights