Kerajaan tak sekat TikTok Sanusi – Saifuddin

KERAJAAN tidak menyekat akaun TikTok milik Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tegas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat akaun TikTok, sebaliknya orang ramai yang mempunyai kuasa berbuat demikian dengan membuat aduan kepada pengendali laman media sosial berkenaan.

“TikTok ni siapa punya? Bytedance.Ltd firma teknologi dari China. Untuk pengguna TikTok macam juga platform media sosial yang lain, ianya tertakluk pantang larang yang boleh dan tak boleh.

“Kerajaan Malaysia ada kuasa ban (sekat) akaun TikTok kita? Jawabnya tidak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR, mengulas mengenai dakwaan Muhammad Sanusi mengenai akaun TikTok rasminya telah disekat dan video-video yang dimuatnaik tidak lagi boleh diakses oleh semua pengguna aplikasi itu.

Semakan mendapati, akaun media sosial berkenaan tidak boleh diakses bermula semalam dan Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu turut mendakwa video-video di akaun TikTok rasminya telah dipadam.

Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin berkata, sekiranya TikTok menerima banyak aduan daripada pengguna lain, maka TikTok akan sekat akaun yang menjadi isu itu.

“Kiranya yang ban TikTok kita ialah pengguna lain bukannya kerajaan. Pengguna lain buat aduan dan TikTok ban.

“Hari ini Menteri Besar Kedah kata kandungan TikTok dia kena padam. Dia kata Malaysia dah jadi Korea Utara!

“Saya tentunya tak setuju sebab memang bukan kerajaan yang buat, kita pun banyak kerja lain,” tegasnya.

Terdahulu Muhammad Sanusi dalam ucapannya semalam, mendakwa akaun TikTok beliau dipadam menyebabkan penjelasan berkenaan fitnah-fitnah atas dirinya tidak dapat dimuatnaik.

Beliau turut menyifatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan pusat seperti Korea Utara, menyekat kebebasan media.

“Depa ikat kaki, ikat tangan, lepas tu suruh kita lawan. Kalau mereka betul-betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights