PEMBANGUNAN masjid harus menumpukan perhatian kepada kebertanggungjawaban kebajikan kariah terutamanya golongan fakir atau miskin tegar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, kesenjangan tanggungjawab dan amanah penting kepada pembangunan umat Islam dari segi jiwa dan raga, keteguhan akidah serta iman selain pengukuhan iman.
“Saya persoal, apa guna ada kuasa dan pengaruh tetapi lupa tanggungjawab kepada pihak yang memerlukan kendatipun bukan Islam sekalipun.
“Hatta, saya tegaskan, Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur dalam menyelesaikan kemiskinan tegar di seluruh negara pada hujung tahun ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, hari ini.
Anwar turut sempat menyantuni kariah masjid berkenaan dan masyarakat setempat sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya merealisasikan pembangunan semula masjid terbabit. – Malaysiapost