Cerita ayam, telur tak cukup bermula dari zaman PN – Rafizi 

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli membidas Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kenyataan Presiden Bersatu itu berhubung kekurangan ayam dan telur di pasaran ketika ini. 

Menurut Rafizi, sebagai bekas Perdana Menteri, Muhyiddin sepatutnya menawarkan penyelesaian dan cadangan bagi menyelesaikan isu tersebut. 

“Muhyiddin dalam ceramah dia tak habis-habis sembang telur tak cukup. 

“Paling kurang sebagai bekas Perdana Menteri, saya harap bila berceramah beliau boleh tawarkan penyelesaian dan cadangan untuk bantu ekonomi rakyat dan bukan cerita dia mula pelihara ayam. 

“Cerita ayam dan telur tak cukup semua ini sebenarnya bermula dari zaman Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Baru-baru ini, Muhyiddin menyatakan beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran. 

Pengerusi PN itu berkata, berdasarkan kajian empirikal oleh sekumpulan penyelidik ke atas 1,200 responden mendapati, masalah paling ketara didepani rakyat adalah kos sara hidup. 

“Jawapan yang paling jelas adalah masalah pertama, kos sara hidup, masalah harga makanan, masalah bekalan makanan tak cukup, sampai telur pun tak cukup. 

“Saya sudah mula pelihara ayam telur di kebun saya, satu hari 40 biji telur. Saya nak tunjuk boleh selesai masalah kalau kita usahakan sendiri,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan. 

Mengulas lanjut Rafizi berkata, sejak setahun lalu masalah kekurangan bekalan ayam dan telur berlaku kerana kegagalan kerajaan ketika itu untuk tangani masalah ayam di peringkat bekalan. 

“Sementara kerajaan menetapkan harga siling, penternak-penternak ayam tidak dibantu dan menjual ayam pada harga yang ditetapkan dengan kos yang merugikan. 

“Ambil contoh kos seekor ayam adalah RM11 tetapi mereka dipaksa jual pada harga RM9 tanpa ada apa-apa insentif yang membantu menyelesaikan masalah penternak,” katanya.

Akibatnya Rafizi berkata, penternak berhenti memelihara ayam menyebabkan bekalan mula terganggu dan harga semakin melambung. 

“Saya harap sudah-sudahlah bercakap tajuk yang sama dalam setiap ceramah dan mula tawarkan penyelesaian sebenar kalau PN betul-betul ada cara lebih baik dari kami,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights