VETERAN Umno Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pendedahan niat jahat Bersatu d ibawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengharamkan Umno.
Menerusi kenyataan hari ini, Veteran Umno juga berterima kasih kepada Perdana Menteri yang telah menggagalkan usaha tersebut.
“Kita memang mendengar ada usaha untuk megharamkan Umno ketika itu. Mereka cuba memperalatkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi memberi tekanan kepada Umno.
“Ia dengan memaksa Umno mengemukakan beberapa bukti dengan harapan Umno gagal untuk membolehkan UMNO diharamkan.
“Bagaimanapun usaha itu terhenti. Rupa-rupanya yang membantut usaha jahat itu ialah Anwar yang ketika itu Pengerusi Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Veteran Umno berkata, setelah Dr Mahathir gagal memaksa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membubarkan Umno sehingga beliau dikenakan 87 tuduhan, mereka mengubah strategi untuk mengharamkan Umno.
“Strategi itu akhirnya digagalkan oleh Anwar Ibrahim. Veteran berharap ahli Umno mengenang jasa Anwar.
“Sekurang-kurangnya menyokong Kerajaan Perpaduan dan bekerja untuk memenangkan calon-calon BN/PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini,” katanya lagi.
Kelmarin Anwar mendakwa Ahmad Zahid menjadi sasaran serangan lawan kerana Presiden Umno itu tahu perancangan untuk mengharamkan parti itu sebelum ini.
Perdana Menteri mendedahkan, Dr Mahathir dan Muhyiddin merancang mengharamkan Umno ketika mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Saya cerita pengalaman bagaimana Dr Mahathir dan Muhyiddin pakat untuk haramkan Umno, saya ke rumah Muhyiddin, memang tegang. Saya lawan Umno masa itu, tetapi saya tak setuju haramkan Umno,” katanya. – Malaysiapost