AKTIVIS dan pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza menempelak kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataannya bahawa ‘tiada kebebasan suara di Malaysia’.
Fahmi berkata, ketika di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), tujuh kali beliau disoalsiasat polis kerana mengkritik kerajaan ketika itu melalui poster satira.
“Cuma nak tanya, masa kerajaan PN memerintah dahulu ada kebebasan bersuara ke?
“Dalam tempoh enam bulan dari Mac hingga September 2021, aku kena tahan polis bawah Akta Hasutan, kena pergi balai tujuh kali untuk disoalsiasat polis sebab poster-poster satira yang kritik Kerajaan PN.
“Dan kena dakwa di mahkamah kerana poster satira yang kritik PAS,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Susulan itu Fahmi membidas sikap Muhammad Sanusi yang mempersoalkan kononnya tiada kebebasan bersuara di Malaysia.
Terdahulu Muhammad Sanusi mempersoal tindakan ahli politik menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kemaraan rakyat.
Beliau berkata, ahli politik di negara ini seakan-akan dihalang untuk berhujah bagi sesuatu perkara.
“Nampaknya di Malaysia tidak boleh bercakap apa, kalau di medan politik biasanya orang akan selesai di medan politik juga.
“Berikan hujah balas kepada perbincangan kita tetapi oleh kerana kita ada kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan kita,” katanya di luar Mahkamah Selayang hari ini.
Sebelum itu beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut.
Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan rasa tidak setia terhadap mana-mana raja pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu di satu ceramah di Selangor. – Malaysiapost