AGC: Pendakwaan berdasarkan keterangan, fakta siasatan

JABATAN Peguam Negara menafikan dakwaan wujud pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

Dalam satu kenyataan media, jabatan itu menegaskan keputusan mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu adalah berdasarkan keterangan serta fakta hasil daripada penyiasatan, dan bukannya atas desakan pihak atau faktor yang lain.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperolehi keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu itu akan didakwa oleh Jabatan Peguam Negara.

Kata kenyataan itu lagi, ia berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang orang yang didakwa.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pembangkang datuk Seri Hamzah Zainudin membidas tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor, dengan menyifatkannya sebagai pendakwaan terpilih.

Hamzah berkata ada ahli politik bukan dari PN yang turut membuat kenyataan menghasut.

Muhammad Sanusi ditahan di sebuah hotel di Mont Kiara, Kuala Lumpur pagi semalam dan kemudian didakwa atas dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948, berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis bertindak untuk menahan Muhammad Sanusi selepas beberapa panggilan telefon yang dibuat kepadanya dan pegawainya ditolak serta kesukaran untuk mengenal pasti lokasinya. – Malaysiapost

Kredit Foto : Kosmo Digital

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights