PENANGGUHAN Majlis Pengisytiharan Calon-Calon Perikatan Nasional (PN) tidak ada kaitan dengan pendakwaan hasutan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor semalam.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata penangguhan itu dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi PN sebelum penahanan Muhammad Sanusi tengah malam kelmarin lagi.
“Penangguhan pengumuman adalah keputusan MPT PN yang diadakan pada Isnin lalu sebelum (Muhammad) Sanusi ditahan dan didakwa.
“Ia dibuat kerana mengambil kira pengisytiharan di setiap negeri dan ia masih terlalu awal walaupun semua negeri sudah bersedia.
“Tiga acara utama dan ia perlu disusun dengan teratur kerana banyak aspek terbabit antaranya pelancaran jentera, manifesto negeri-negeri dan pengisytiharan calon,” katanya memetik Berita Harian.
Semalam, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang semalam atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan 1948.
Beliau didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik minggu lalu.
Tuan Ibrahim menjelaskan, pelancaran jentera pilihan raya PN sudah dilaksanakan.
“Dalam masa terdekat, PN akan membuat pengumuman calon dan manifesto negeri. Jadi hal ini langsung tiada kaitan dengan pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, semalam, PAS Kedah dilaporkan menangguhkan Majlis Pengisytiharan Calon-Calon PN negeri itu yang dijadual berlangsung Jumaat ini kepada Selasa depan.
Difahamkan jadual majlis itu ditunda bagi mengubah strategi PAS Kedah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Setiausaha PN Kedah, Musoddak Ahmad dalam satu kenyataan semalam, berkata keputusan itu dibuat atas arahan Majlis Perikatan Nasional Pusat. – Malaysiapost