Annuar dakwa dokumen didedah PM bukan penghapusan hutang peneroka

TAN Sri Annuar Musa mendakwa dokumen yang didedahkan Perdana Menteri di media sosial hari ini, bukan dokumen penghapusan hutang peneroka FELDA.

Bekas pemimpin Umno yang dipecat itu mendakwa dokumen yang dimuat naik di Facebooknya Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin Terbitan Sukuk yang diputuskan pada akhir tahun 2020 dan diterbitkan secara berperingkat.

“Kalau tak silap saya, ini bukan Sukuk Pertama, tapi mungkin yang ketiga. Yang pasti ini bukan dokumen penghapusan hutang peneroka.

“Setahu saya, Kabinet luluskan pelan pemulihan FELDA pada Oktober 2020 lagi. Penghapusan hutang peneroka dilaksana tahun 2021.

“Tindakan lain dalam melaksanakan pelan pemulihan FELDA memang memakan masa lebih panjang termasuk Sukuk dengan jaminan kerajaan (yang Perdana Menteri tandatangan atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu Anwar hari ini mendedahkan sebahagian dokumen perjanjian FSRA yang dimuatnaik di Facebooknya, berkaitan Jaminan Kerajaan kepada FELDA yang telah beliau tandatangani.

Justeru Perdana Menteri mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Mengulas lanjut Annuar berkata, rakyat kini keliru dengan hantaran Perdana Menteri dan beliau perlu membuat pencerahan lanjut.

“Dokumen itu dokumen pengeluaran Sukuk atau dokumen pelupusan hutang peneroka. Pohon pencerahan,” katanya.

Semalam media melaporkan Muhyiddin menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Kenyataan yang dibuat Anwar itu mendakwa hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan di bawah pentabiran Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri kelapan.

Tuntutan tersebut dikemukakan dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Menurut surat berkenaan, firma guaman tersebut berkata permohonan maaf kepada anak guam mereka, iaitu Muhyiddin perlu disiarkan di akaun Facebook Anwar, semua laman web serta platform di mana kenyataan fitnah tersebut disiarkan.

Selain itu, dalam tempoh 24 jam daripada penerimaan surat berkenaan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu perlu mengemukakan surat atau dokumen yang ditandatangani, mengatakan Anwar sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun lalu meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights