SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berangkat pulang dari Hospital Pakar Damansara 2 (DSH 2) di Kuala Lumpur, selepas selamat menjalani pembedahan pada bahu kanan, Selasa lalu.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, sebelum berangkat pulang ke Johor, baginda akan menjalani rawatan susulan selama beberapa hari.
“Saya sepatutnya direhatkan seketika di ICU (unit rawatan rapi) setelah pembedahan, namun alhamdulillah saya rasa cukup elok untuk terus ke wad biasa.
“Saya jalan sendiri dari dewan bedah ke wad saya. Doktor pun terkejut. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT, berkat doa orang ramai dan Bangsa Johor, saya selamat melalui rawatan ini dan berharap dapat sambung kerja saya,” titah baginda dalam hantaran itu, hari ini.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pakar perubatan yang memberi rawatan serta seluruh warga DSH 2 yang memberi perkhidmatan baik.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua doktor, jururawat serta kakitangan yang telah merawat dan membantu saya. Baru beberapa hari di sini, tetapi keikhlasan mereka semua membuat saya rasa terharu, seperti ada keluarga baru di sini,” titah baginda.
Setelah berangkat dari hospital, baginda berkenan bersantap di sebuah pusat beli-belah di ibu negara. – Malaysiapost