Nak kalahkan JDT di padang, bukan minta potong mata

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim membidas segelintir penyokong bola sepak yang mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memotong mata Johor Darul Ta’zim (JDT) susulan isu menyalakan suar di stadium.

Pemilik kelab JDT itu menyifatkan desakan sedemikian sebagai tidak gentleman kerana jika mahu mengalahkan skuad Harimau Selatan, ia perlu dilakukan di dalam padang.

“Kami sudah dihukum lebih RM100,000 dan mungkin akan ada hukuman lagi.

“Tapi kalau awak nak bertentang dengan JDT, takkan nak harap kita dipotong mata kalau ada penyokong membakar suar.

“Kalau nak kalahkan (JDT), kalahkan dalam padang. Janganlah berharap mata kita kena potong, itu bagi saya tak gentleman, bagi saya itu mentaliti looser,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan rata-rata peminat bola sepak tempatan di media sosial mendesak FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan hukuman lebih berat terhadap JDT susulan isu menyalakan suar di dalam stadium.

Desakan hukuman denda pemotongan mata dan bermain tanpa kehadiran penonton dibuat susulan tindakan segelintir penyokong Harimau Selatan menyalakan suar di dalam Stadium Sultan Ibrahim pada aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan.

Peminat di media sosial menyifatkan tindakan menyalakan suar itu sebagai tidak menghormati MFL selaku badan pentadbir Liga-M dan mencabar FAM sebagai badan induk bola sepak negara.

Tindakan menyalakan suar itu berlaku kira-kira 48 jam selepas FAM mengenakan denda RM120,000 terhadap JDT, atas tindakan penyokongnya menyalakan suar pada tiga perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights