Ahli Bersatu boikot calon PN DUN Batang kali

AHLI Bersatu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali bertekad untuk memboikot calon yang dipertandingkan Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menerusi hantaran Facebook Mohd Zikri Faiz, yang dipercayai ahli Bersatu memaklumkan Ketua Bersatu Hulu Selangor, Md Anuar Mohd Nor telah dikhianati oleh ahli bahagiannya sendiri.

Dakwanya, Md Anuar turut dihina oleh pihak atasan Bersatu dengan cara yang paling hina.

“Oleh demikian, kepada anda di luar sana yang bersama kami, kita boikot N07 Batang Kali tolak calon #sesumpah Muhaimin Harith daripada Perikatan Nasional,” tulisnya.

Hantaran tersebut dibuat dipercayai sebagai tanda tidak puas hati kerana Muhaimin yang merupakan Ketua Penerangan PN Hulu Selangor dikatakan adalah calon DUN Batang Kali mewakili PN pada PRN Ogos ini.

Dalam hantaran berbeza, Mohd Zikri memuat naikgambar bendera PN dipijak dan dibakar oleh beberapa individu.

Katanya, tindakan itu sebagai tanda gerakan menolak dan boikot Muhaimin sebagai calon PN.

“Anda bermain-main dengan bos saya, kami bermain-main dengan anda sebagai balasan,” katanya memberi amaran.

Sebelum ini, Speaker DUN Selangor mengisytiharkan kerusi N07 Batang Kali kosong berkuatkuasa 28 Januari lalu apabila penyandangnya Harumaini Omar dilucutkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.

Keputusan itu diambil selepas didapati Harumaini tidak hadir enam bulan berturut-turut persidangan dalam Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 pada 2022.

Harumaini yang merupakan anggota Parti Bersatu bertanding di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket PKR sebelum partinya berpisah keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Beliau kemudian menyertai Pejuang dengan meninggalkan Bersatu pada 2020. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights