KERAJAAN Johor mengisytiharkan esok, 23 Julai 2023, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Johor sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di Facebooknya lewat malam ini.
Ia susulan kejayaan JDT menewaskan KL City FC 2-0 dalam aksi final di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas segala perancangan serta usaha berterusan dalam membangunkan JDT menjadi sebuah kelab bola sepak yang disegani di Malaysia dan di rantau Asia.
“Kemenangan Skuad Harimau Selatan ini merupakan piala kedua untuk tahun 2023, setelah memenangi Piala Sumbangsih awal tahun ini, serta Piala FA ketiga buat JDT, selepas tahun 2016 dan tahun 2022.
“Buat semua peminat JDT, teruslah memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk setiap perlawanan yang akan datang,” tulisnya. – Malaysiapost