PENGANJUR Good Vibes Festival 2023 akan mengenal pasti mekanisme terbaik sebagai ganti rugi kepada pembeli tiket susulan pembatalan serta-merta baki dua hari acara di Litar Antarabangsa Sepang.
Menerusi satu kenyataan, pihak tersebut turut meminta maaf kepada semua pembeli tiket, pihak vendor, penaja dan rakan strategik berhubung kontroversi yang timbul.
Pada masa sama, pihaknya turut menghargai segala sokongan jitu terhadap penganjuran karnival itu.
Keputusan itu dibuat susulan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan serta-merta festival yang sepatutnya berlangsung hari ini dan esok.
Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan bersama pihak penganjur, Future Sound Asia susulan kumpulan rock, The 1975 membuat aksi yang disifatkan biadab semasa konsert, semalam.
Persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi melampau di hadapan peminat.
Healy didakwa memegang botol arak ketika berada atas pentas selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Vokalis itu juga membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebelum bertindak mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.
Sejurus itu, Healy dimaklumkan menerima arahan supaya menghentikan persembahan tersebut serta-merta. – Malaysiapost