Bomba jalankan siasatan dalaman kemalangan helikopter

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berkaitan insiden kemalangan melibatkan sebuah helikopter milik agensi itu di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT), dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, semalam.

JBPM dalam kenyataan berkata, tindakan susulan akan diambil selaras dengan arahan dan prosedur semasa yang berkuat kuasa.

“Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) juga sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian,” menurut kenyataan itu.

JBPM berkata, kemalangan helikopter model Agusta, AW189 dengan nombor pendaftaran 9M-BOF milik JBPM itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.45 pagi, semalam.

“Helikopter tersebut dilaporkan telah ditugaskan untuk menjalani pengujian enjin dan sistem setelah melalui proses selenggara berkala yang ditetapkan oleh pihak pengeluar sebagaimana dalam program selenggaraan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kemalangan helikopter itu berlaku ketika ia masih belum membuat penerbangan.

“Keadaan cuaca semasa kejadian dilaporkan mendung, tanpa sebarang halangan di tempat kejadian,” katanya.

JBPM berkata, ketika kejadian, helikopter berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Penguasa Bomba II Hasrizal Kamaruzzaman (komander pesawat).

“Beliau dibantu oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhammad Azlan Che Mohammad (juruterbang) dan Pegawai Bomba Kanan Fua’ad Jamaluddin (air quartermaster),” katanya.

Semalam, media melaporkan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden kemalangan helikopter di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Terdapat tujuh penumpang termasuk juruterbang dalam helikopter terbabit dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights