Justin Lim dakwa tidak terima notis SPRM

KETUA Pegawai Eksekutif Sersol Bhd, Datuk Justin Lim Hwa Tat memaklumkan beliau tidak mendapat sebarang notis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menyenaraikan dirinya sebagai individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan.

Justin berkata, siasatan itu bagi tujuan untuk merakam kenyataannya di bawah seksyen 30 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya, beliau juga tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pegawai SPRM berkaitan dengan siasatan yang disebutkan serta tidak menerima sebarang notis termasuk di tempat kerja mahupun di kediaman.

Justeru, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM kerana tindakan menyenaraikan beliau sebagai individu yang dikehendaki.

“Saya dan wakil perundangan saya akan mengambil langkah untuk melindungi nama dan reputasi saya.

“Ia sebagai tindak balas kepada mana-mana penerbitan masa depan atau masa lalu yang mungkin memudaratkan karakter saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah Justin berkata, beliau secara rasmi melantik Messrs Gobind Singh Deo & Co untuk mewakili dirinya sebagai wakil undang-undang semasa proses siasatan ini berlangsung.

“Sebagai seorang warganegara yang mematuhi undang-undang, saya nyatakan komitmen bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu siasatan dengan jujur dan telus,” katanya.

Pada 12 Julai lalu media melaporkan, SPRM sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes yang dijalankan.

SPRM memaklumkan, individu berkenaan adalah Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat berusia 47 tahun yang mempunyai alamat terakhir di No. 54, Jalan SS 22/27 Damansara Jaya, Petaling Jaya.

Terdahulu, Justin berada di bawah siasatan SPRM berhubung dakwaan pembayaran berjumlah RM2.5 juta yang dibuat kepada sebuah syarikat swasta bernama HGC Legacy Enterprise.

Syarikat itu dalam pemfailan bursa pada 17 Julai lalu mendakwa, tujuan pembayaran yang direkodkan sebagai deposit pada April dan Mei 2023 didakwa masih belum dimaklumkan kepada ahli lembaga pengarah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights