Mesyuarat perkasa unit pemantauan 3R dengan KPN minggu depan – Fahmi

SATU mesyuarat untuk memperkukuh dan memperkasakan unit pemantauan berkaitan isu 3R (raja, agama dan kaum) akan diadakan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, minggu hadapan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat berkenaan akan membincangkan bagaimana unit pemantauan itu akan beroperasi selama 24 jam setiap hari.

Menurutnya, keperluan menubuhkan unit itu juga berikutan tindakan dilakukan sesetengah individu untuk menimbulkan sedikit rasa gusar berikutan penahanan seorang tokoh politik.

“Ketika individu berkenaan ditahan pihak berkuasa, saya dimaklumkan sekitar tengah malam hari yang sama tersebar dalam aplikasi TikTok gambar beberapa orang lelaki duduk di satu meja bersama peranti (telefon bimbit) berserta gambar individu (tokoh politik yang ditahan) manakala di satu sudut meja terdapat senjata kapak serta keris.

“Bagi saya ia adalah kandungan yang sangat tidak sihat dan ugutan jenayah. Saya berterima kasih kepada TikTok kerana tanpa diarah serta diminta, mereka mengenal pasti kandungan itu dan segera menurunkannya,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Penubuhan Rasmi Komuniti Madani Selangor, hari ini.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata, ada keperluan mewujudkan unit terselaras antara agensi penguat kuasa dan penyedia platform media sosial bagi menangani isu berkaitan 3R membabitkan agensi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan polis. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights