MAYAT seorang nelayan warga emas yang dilaporkan hilang di Sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita di Tawau, Sabah, Rabu lalu, ditemui di dalam perut seekor buaya, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, operasi mencari mangsa, Addi Bangsa, 60, dilakukan bersama Jabatan Hidupan Liar.
“Pada hari keempat operasi, Pasukan Perhilitan menjumpai seekor buaya yang dipercayai membaham mangsa dan bertindak menembak haiwan itu seterusnya membelah perutnya dan mendapati mangsa di dalam perut haiwan itu.
“Pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh ahli keluarganya dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau, Primus Lambut mengesahkan perkara itu.
Beliau memaklumkan buaya jantan dianggar seberat 800 kilogram serta berukuran 4.26 meter panjang itu ditembak awal pagi tadi di kawasan laut, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya. – Malaysiapost