AMANAH terkejut dengan tindakan Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh ketika Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata ia kerana Mesyuarat Sekretariat Perpaduan Terengganu sebelum ini telah bersetuju memberikan kerusi itu kepada Amanah, lapor Sinar Harian.
Jelasnya, Amanah juga tidak pernah memulangkan kembali kerusi DUN itu sebagaimana desas-desus mengatakan kononnya ia sebagai pertukaran bagi meletakkan calon PKR untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
“Kita tidak pernah memulangkan kembali kerusi DUN Tepuh kepada BN kerana ia telah dipersetujui bersama untuk diberikan kepada Amanah menerusi mesyuarat antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada Mei lalu,” katanya.
PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujudnya unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.
Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.
Malam tadi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail sebagai calon PH untuk PRK Parlimen Kuala Terengganu.
Pengumuman itu sekali gus memberi bayangan saingan PRK di kerusi berkenaan akan menyaksikan pertaruhan calon Kerajaan Perpaduan dari PH, bukan Barisan Nasional (BN) seperti ura-ura, sebelum ini.
Pencalonan Azan juga menafikan khabar angin sejak semalam menyatakan kononnya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan dipertaruh di kerusi itu. – Malaysiapost