PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, tuntutan Anwar yang meminta beliau membayar pampasan sebanyak RM200 juta adalah merepek.
Perkara itu dinyatakan menerusi surat daripada firma guamannya Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang dialamatkan kepada firma guaman Tetuan SN Nair & Partners yang bertindak bagi pihak Anwar.
Surat terbabit yang merujuk kepada surat jawapan Anwar pada 21 Julai lalu terhadap surat tuntutan Muhyiddin bertarikh 18 Julai lalu, menyatakan bahawa Muhyiddin menafikan kesemua dakwaan Anwar.
Kata surat itu, adalah jelas Anwar tersilap dalam isu pelupusan hutang peneroka Felda.
“Dokumen yang disiarkan melalui kenyataan anak guam anda (Anwar) bertarikh 20 Julai lalu dan siaran media Kementerian Kewangan juga bertarikh sama secara terangnya adalah berkenaan sukuk dan bukan mengenai hutang peneroka Felda yang sememangnya sudah dilupuskan pada 2021.
“Anak guam anda kini masih enggan menarik balik kenyataan fitnah itu dan cuba memutarbelitkan perkara ini seperti menegakkan benang yang basah.
“Anda seharusnya tahu bahawa tuntutan anak guam anda untuk RM200 juta adalah merepek dan jika difailkan sedemikian, adalah satu penyalahgunaan dan mempermainkan proses mahkamah.
“Oleh yang demikian, kami diarahkan untuk meneruskan dengan tindakan undang-undang terhadap anak guam anda,” kata surat berkenaan.
Pada 21 Julai lalu, Anwar dalam surat jawapannya menuntut Muhyiddin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana mencederakan dengan teruk reputasi beliau berhubung dakwaan dalam isu pelupusan hutang peneroka Felda.
Ia juga menyatakan bahawa Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.
Pada 18 Julai lalu, Muhyiddin menghantar surat tuntutan terhadap Anwar dan menuntut Ahli Parlimen Tambun itu mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam. – Malaysiapost