PM prihatin kebajikan penjawat awam

CUEPACS menyambut baik keprihatinan dan perhatian Perdana Menteri dalam menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam serta elaun diterima penjawat awam ketika ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat pelarasan semula imbuhan tetap diterima penjawat awam dalam masa terdekat membuktikan beliau sentiasa melaksanakan apa yang diperkatakan.

“Setelah sekian lama penjawat awam dijanjikan dengan pelarasan semula skim gaji mereka, akhirnya ia menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“CUEPACS sendiri telah bertemu Perdana Menteri pada 18 Julai lalu dan diberi kesempatan untuk memberi pandangan dalam soal penyelarasan semula elaun-elaun tetap diterima penjawat awam ketika ini,” katanya menerusi kenyataan.

Adnan berkata antara perkara yang dicadang kepada Perdana Menteri ialah meningkatkan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebanyak RM100 kepada Penjawat Awam.

Ketika ini katanya, elaun ITKA paling rendah diterima penjawat awam ialah RM95 dan kenaikan tersebut akan menjadikan elaun itu diselaraskan bermula RM195.

Tambahnya, kadar semasa diterima adalah kadar lama dan telah dilaksanakan sejak 1 Januari 2007.

Sehubungan itu Adnan menegaskan, selaras kenaikan kos sara hidup, CUEPACS berpandangan ia wajar diselaras semula.

“Begitu juga dalam soal elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) yang diterima penjawat awam mengikut kawasan mereka bekerja.

“Penjawat awam yang menduduki kuarters kerajaan hanya akan dibayar 50% daripada kadar COLA sepatutnya. CUEPACS cadangkan agar elaun COLA penjawat awam yang menduduki kuarters kerajaan dibayar penuh 100% memandangkan elaun Imbuhan Tetap Perumahan telah dipotong.

“Perkara ini sedikit sebanyak meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam itu sendiri dalam mengharungi kos sara hidup semasa,” katanya.

Beliau menambah, kurang seminggu selepas pertemuan Perdana Menteri, penjawat awam menerima khabar akan adanya pelarasan semula elaun-elaun tetap diterima ketika ini.

“CUEPACS memberi jaminan kesungguhan Perdana Menteri pasti akan diterjemahkan dengan kualiti perkhidmatan terbaik oleh warga perkhidmatan awam.

“Penjawat awam akan menjadi pemudah cara terbaik dalam pemulihan ekonomi negara selaras usaha Perdana Menteri untuk memulihkan semula ekonomi negara.

“Dalam hal ini penjawat awam akan bersama-sama Perdana Menteri untuk meletakkan semula Malaysia di landasan betul dalam melaksanakan strategi pemulihan ekonomi negara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights