MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah mengarahkan pejabatnya membuat laporan kepada pihak berkuasa susulan penyebaran satu poster fitnah terhadapnya berkaitan konsert The 1975.
Beliau berkata laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia susulan tular satu poster mendakwa beliau mengarahkan tentera siber kerajaan perpaduan mencipta naratif menyalahkan PAS dalam isu pembatalan Festival Good Vibes baru-baru ini.
“Di hari kita semua bersedih kehilangan seorang rakan seperjuangan yang baik, ada yang masih sempat dan tak takut melakukan fitnah,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Beliau turut memberikan kronologi kes Good Vibes Festival dan band The 1975:
1) Penganjur Good Vibes Festival telah memohon kebenaran dari PUSPAL (agensi di bawah KKD) untuk anjurkan konsert ini
2) Pada 23 Jun 2023, PUSPAL telah menolak permohonan penganjur untuk membawa masuk The 1975 atas rekod buruk kumpulan ini di negara lain
3) Pada 16 Julai, penganjur telah buat rayuan dan jaminan bertulis juga dari manager band tersebut untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas persembahan kumpulan ini, dan PUSPAL telah menerima rayuan berdasarkan jaminan tersebut
4) Pada 21 Julai jam 11 malam, Kumpulan 1975 telah berkelakuan sangat biadab di pentas persembahan.
5) Pada 22 Julai jam 3 pagi (selang 4 jam), saya membuat hantaran di Twitter mengecam keras tindakan ini dan memanggil penganjur untuk berjumpa saya pagi berikutnya
5) Pada 22 Julai (Sabtu) jam 10 pagi, penganjur hadir dan mereka mengaku akan mengambil tanggungjawab penuh
6) Tamat mesyuarat, jam 1 petang saya keluarkan kenyataan dan minta penganjur batalkan baki konsert dan cari mekanisme bayaran balik (refund) pada pembeli tiket.
Sehubungan itu Fahmi mempersoalkan bagaimana pereka poster fitnah tersebut tanpa rasa takut terhadap undang-undang mahupun akhirat apabila membuat fitnah secara terbuka seperti itu.
“Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita dari fitnah dan para pemfitnah ini,” katanya. – Malaysiapost