PELAWAK kontroversi, Jocelyn Chia sekali lagi memperlekeh dan mempersenda kerajaan Malaysia dengan mempersoalkan mengapa tidak mengarahkan Polis Antarabangsa (INTERPOL) menahannya dan ahli kumpulan dari British, The 1975.
Menerusi satu ciapan di Twitter, Jocelyn secara sinis mengalu-alukan vokalis kumpulan itu, Matty Healy dalam senarai individu yang disenarai hitam oleh kerajaan Malaysia sebagaimana pernah dihadapinya sebelum ini.
“Selamat datang Matty Healy ke dalam senarai yang disekat oleh Malaysia. Namun, mana arahan supaya dia ditahan dan INTERPOL digesa mengesan di mana dia berada kerana dikatakan melanggar undang-undang Malaysia ketika berada di negara itu?.
“Adakah Malaysia telah melonggarkan (undang-undang sedia ada)…atau apa sebenarnya…,” tulisnya dalam ciapan itu semalam.
Ciapan itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak senang warga maya dan bertindak membidas kenyataan wanita berkenaan.
Seorang pengguna Twitter berkata vokalis berkenaan tidak dipanggil pihak polis kerana tidak membuat lawak sensitif dengan mempersendakan mangsa yang terbabit dalam kes MH370.
Ciapan Jocelyn itu dianggap sengaja menimbulkan provokasi terhadap Malaysia dengan mengaitkan isu aksi dan kenyataan biadap kumpulan The 1975 ketika membuat persembahan pada Festival Good Vibes 2023 di Sepang, Sabtu lalu.
Healy dikecam teruk susulan aksi memegang botol arak ketika membuat persembahan, dan turut bertindak kurang sopan dengan meludah dan mencium mencium anggota kumpulannya yang juga pemain gitar bass, Ross McDonald.
Sebelum ini, Jocelyn yang juga pelawak kelahiran Singapura, dikecam pelbagai pihak kerana lawak kontroversinya berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370.
Tindakannya itu mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura kerana tidak sensitif terhadap perasaan keluarga mangsa.
Insiden yang tular di media sosial itu membabitkan satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat, Jun lalu. – Malaysiapost